catatanzabidi

Pemilihan G7 UMNO Kemaman sengit, mesyuarat 'panas' !

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman yang diadakan selepas solat Jumaat lalu berlangsung dalam situasi agak ‘panas'. 

Perasmian oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru sahaja digugurkan jawatan Timbalan Perdana Menteri semakin ‘panas' dengan kehadiran bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang hampir senasib dengan Muhyiddin.

Dalam ucapan Ahmad Said selama lebih satu jam banyak mengkritik kepimpinan Datuk Sri Najib. Namun memuji salah seorang Menteri Kabinet Najib iaitu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman dan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani kerana memangku tugas beliau sebagai Ketua UMNO Kemaman selama setahun dengan baik akibat apa yang beliau labelkan sebagai ‘tempoh kecederaan’ selepas dipecat selaku Menteri Besar Terengganu.

Dalam pada itu, pertandingan perwakilan G7 UMNO Kemaman untuk memilih 7 orang wakil ke Persidangan Agong UMNO 2015 dilihat sangat sengit yang melibatkan 12 orang calon ‘heavyweight’ termasuk dua orang Yang Berhormat ADUN. 

Ir Rosli Othman
Namun, kehadiran lebih 800 orang perwakilan dari seluruh UMNO Kemaman dilihat sedikit terganggu kerana tempoh pengundian diadakan antara waktu Maghrib sehinggakan ramai perwakilan pulang tanpa sempat mengundi.

Keputusan pemilihan yang diumumkan oleh Pengerusi Tetap pada pukul 9.55 malam itu menunjukkan Yang Berhormat Ir Rosli Othman yang merupakan ADUN Kemasik mengungguli carta dengan 502 undi. Ir Rosli merupakan Exco Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan YAB Menteri Besar baru iaitu Dato Seri Ahmad Razif.

Jika sebelum ini, semua carta teratas pemilihan G7 di Kemaman akan diisi oleh YB-YB yang bertanding. Namun kali ini, Wan Mohd Hisham Wan Abd Hamid menguasai tempat kedua dengan undian 468 undi. Untuk rekod, Wan Mohd Hisham merupakan adik kepada Naib Ketua Bahagian iaitu Wan Ahmad Nizam yang dikenali sebagai penyokong setia Ahmad Said. Populariti Wan Mohd Hisham ini memang terbukti sebelum ini kerana berjaya menduduki tempat pertama daripada 20 tempat AJK Bahagian ketika pemilihan UMNO Kemaman yang lepas.

Wan Hakim
Ditempat ketiga pula, barulah diisi oleh seorang lagi Yang Berhormat iaitu Wan Abdul Hakim. Beliau yang merupakan anak bekas Menteri Besar 22 tahun adalah Ketua Penerangan UMNO Negeri sekarang telah memperolehi 457 undi. Sebelum pemilihan G7 ini, Wan Abdul Hakim telah dikritik teruk oleh Ahmad Said di dalam ucapan beliau berkaitan beberapa perkara termasuk isu TIA dan 1MDB.

Dengan 445 undi, Naib Ketua Wanita UMNO Kemaman iaitu Puan Hajah Rosmiza bt Mokhtar menduduki tempat ke-4 dalam pemilihan G7 kali ini. Perwakilan Wanita yang mendominasi cawangan-cawangan banyak memberi kelebihan kepada beliau.

Hisham Zubir
Manakala, bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman penggal lepas iaitu Mohd Hisham Zubir mendapat 416 undi untuk menduduki tempat ke-5. Mohd Hisham Zubir merupakan Pegawai Khas Menteri kepada Dato Sri Ahmad Shabery Cheek adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal calon YB di DUN Cukai selain Ketua Pemuda sekarang iaitu Ahmad Fikry Ibrahim yang memegang jawatan Pegawai Penyelaras DUN Cukai. 

Fauzi Adam
Keputusan ditempat ke-6 Pemilihan G7 kali ini menampilkan pemimpin baru yang merupakan aktivis belia. Mohd Fauzi Mat Adam yang memperolehi 404 undi merupakan Setiausaha Agong Majlis Belia Felda Kebangsaan dan Pengerusi Belia Felda Negeri Terengganu serta Naib Ketua Pemuda UMNO Kemaman. Beliau juga banyak kali dianugerahkan Tokoh Belia diperingkat negeri dan kebangsaan dilihat sebagai pewaris kepimpinan UMNO di Kemaman pada masa akan datang.

Zulkipli Sulong
Ditempat ketujuh dengan 365 undi disandang oleh wakil golongan pendidik / guru iaitu Ustaz Zulkifli bin Sulong. Beliau yang merupakan Pengerusi Biro Agama UMNO Kemaman merupakan salah seorang yang disebut-sebut di DUN Air Putih sebagai bakal calon di DUN tersebut.

Dengan kemenangan Ustaz Zulkipli Sulong, Mohd Fauzi Adam dan YB ADUN Wan Hakim bermakna ketiga-tiga calon G7 dari DUN Air Putih Kemaman tersenarai dalam G7 kali ini. Untuk rekod DUN ini merupakan perwakilan teramai namun dilihat sentiasa tidak sekata sebelum ini dalam membuat pengundian disebarang perebutan jawatan dalam UMNO Kemaman.

Along Rahim (kiri)
Manakala antara calon-calon yang tewas kali ini ialah Mohd Hazarul Ifdaz atau dikenali Along Rahim. Beliau adalah calon termuda dan merupakan calon yang tewas ketika perebutan Ketua Pemuda UMNO Kemaman pada pemilihan dulu. Ayah beliau yang merupakan bekas Naib Ketua UMNO Kemaman adalah seorang usahawan yang sangat berjaya dan ada sesetengah perwakilan menganggap Along sebagai calon bermusim yang hanya muncul ketika musim pemilihan. 

Selain itu, Puan Malissa Solah yang merupakan Naib Ketua Puteri Kemaman dilihat gagal menawan hati sepenuhnya perwakilan. Begitu juga dengan calon Ketua Wanita UMNO Kemaman yang lepas iaitu Che Ku Maznah binti Che Ku Awang. Che Ku Maznah juga merupakan calon yang sentiasa bertanding disetiap kali ada pemilihan di UMNO Kemaman.

Dua orang lagi yang turut tidak berjaya untuk pemilihan kali ini ialah AJK UMNO Bahagian Kemaman iaitu Syed Mohd Shaharzi bin Syed Alwi dan Haji Yahya bin Mohamad.

Diakhir mesyuarat, Ahmad Said selaku Ketua UMNO Kemaman kembali memasuki dewan dan berucap dengan emosi termasuk mengkritik YB Wan Hakim berkaitan isu-isu Terengganu. Namun tindakan Wan Hakim meninggal dewan sebelum ucapan Ahmad Said dilihat tepat supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.

naluri rakyat

ANGIN LAUT CHINA SELATAN

Terengganu Lening

Nisan Kerek